MALAYSIA Debt Ventures Berhad (MDV), agensi di bawah Kementerian
Kewangan telah memperuntukkan kira-kira RM300 juta tahun ini untuk
Program Pembiayaan Teknologi Hijau bertujuan menyokong sektor teknologi
hijau negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Md Zubir Ansori Yahaya
berkata, langkah terbabit wajar dilakukan berikutan pertumbuhan pesat
sektor teknologi hijau dan masa depannya di negara ini.
“Program Pembiayaan Teknologi Hijau adalah bidang tumpuan ketiga MDV
selepas Program Pembiayaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan
Bioteknologi. “Pelancaran dana Pembiayaan Teknologi Hijau ini dibuat
pada masa yang amat sesuai, sejajar dengan rancangan kerajaan untuk
membangunkan teknologi hijau di seluruh negara,” katanya ketika
pelancaran program yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.
Ia dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan I, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai.
Pengenalan program pembiayaan terbaru MDV khusus untuk syarikat
teknologi hijau tempatan yang sudah berkembang menjangkaui peringkat pra
pengkomersialan. “Selaras model ekonomi baru Malaysia dan Rancangan
Malaysia ke-10, kami berusaha memberikan sokongan kepada industri
teknologi hijau dan seterusnya pembangunan Malaysia menjadi negara
lestari menerusi teknologi inovatif,” kata Zubir.
Dengan kemudahan pinjaman pembiayaan teknologi hijau, syarikat yang
layak boleh menerima pembiayaan kontrak serendah RM250,000 dengan margin
pembiayaan sehingga 85 peratus nilai kontrak selain tempoh pinjaman
sehingga 10 tahun.
Bagi syarikat-syarikat yang berminat dan terlibat dalam pembekalan
produk teknologi hijau boleh menghubungi MALAYSIA Debt Ventures Berhad
untuk melihat senarai penuh pembiayaan teknologi hijau.
No comments:
Post a Comment