Hari Alam Sekitar Sedunia atau World Environment Day disambut pada 5 Jun
setiap tahun. Hari Alam Sekitar Sedunia telah dilancarkan oleh
Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1972 dan Program Persekitaran PBB
(UNEP) juga ditubuhkan pada tahun yang sama untuk membangkitkan
kesedaran mengenai alam sekitar dan menarik perhatian politik dan
tindakan awam.
Masyarakat Malaysia tidak cakna dan prihatin kewujudan Hari Alam Sekitar
Sedunia ini kerana mereka tengah menggaru kepala memikirkan kenaikan
harga minyak yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi.
Seharusnya masyarakat mengorak langkah menjadikan Hari Alam Sekitar
Sedunia sebagai hari mentajdidkan semangat mengharmonikan dan
melestarikan alam sekitar. Cukup banyak isu-isu yang berhubung dengan
alam sekitar yang menjadi paparan utama arus media perdana negara.
Media-media ini menjuarai isu-isu alam sekitar yang telah dinodai oleh
tangan-tangan rakus masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Kebertanggungjawaban media ini dapat dilihat seperti akhbar-akhar
tempatan yang meletakkan ruangan Alam Sekitar, media TV3 yang menjadikan
Karam Singh Walia sebagai wartawan yang membawa isu alam sekitar di
Malaysia yang.
Terlalu banyak isu alam sekitar yang diperkatakan dan direncanakan dalam
melestarikan alam semulajadi ciptaan Allah Tuhan yang Maha Agung. Isu
pembakaran terbuka masih berlesuasa, isu pencemaran sungai usah dikata,
isu pembuangan sampah merata-rata tidak terkira hatta isu haiwan yang
patut dilindungi juga menjadi mangsa kerakusan dan
ketidakbertanggungjawaban manusia. Masyarakat sudah lari dari fitrah
asal yang mana sepatutnya diri yang dilantik oleh Allah sebagai khalifah
menjadikan alam sekitar pentas untuk dijaga dan diharmonikan. Kita
masih ragu-ragu, kenapa sungai yang kita pelihara dengan pelbagai kempen
kesedaran serta pembersihan yang terurus tidak menampakkan hasil yang
memberangsangkan. Jika hari ini Majlis Bandaran membersihkan sungai
pastinya esok kotor kembali apatah lagi masyarakat yang bergotong royong
membersihkan kawasan perumahan, tetapi kesudahannya masih kekal kotor.
Kita seharusnya sedar bahawa masyarakat mempunyai hak untuk mendapatkan
alam semula jadi yang sihat dan selamat. Ia telah termaktub dalam 8 hak
pengguna yang telah diisytiharkan oleh International of Consumer Unions
(IOUC). Seharusnya hak ini menjadi tanggungjawab bersama dengan agenda
yang telah direncanakan dalam buku Panduan Pengguna. Semua pihak
berperanan sama dalam soal ini seperti pihak kerajaan, pihak industri
dan peranan pengguna.
Terlalu banyak program dan aktiviti kesedaran mengenai alam sekitar
seperti seperti kempen sayangi sungai kita, pertandingan menulis esei
alam sekitar, gotong royong, kempen kitar semula dan sebagainya.
Permasalahan yang timbul adalah segala program dan kempen yang dibuat
hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri masyarakat.
Seharusnya masyakat bersama-sama berganding bahu menjadikan alam
semulajadi ini sebagai satu medan untuk dilestarikankan. Masyarakat
sememangnya mengerti kesan dan akibat perbuatan yang tidak
bertanggungjawab ini, tetapi gerak kerja untuk memurnikannya masih
kurang. Sewajarnya masyarakat harus sedar alam semulajadi yang
dianugerahkan bukanlah satu benda yang boleh di “recycle” atau dikitar
semula, tetapi ianya mestilah diharmonikan dan dijaga. Allah telah
meletakkan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini dengan sikap
kebertanggungjawaban, jadi masyarakat haruslah memainkan peranan untuk
melestarikan alam ini agar ianya harmoni, aman dan makmur. Selamat Hari
Alam Sekitar Sedunia kepada semua masyarakat agar agenda melestarikan
alam sekitar ini terus dilaksanakan.
ZULZAIDI BIN MAHMOD
JABATAN SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG,
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA.
Sumber : http://alamsekitar.weebly.com/
No comments:
Post a Comment